Menyatakan apa itu Pemikiran Reka dan 5 langkah dalam Pemikiran Reka.
Menyatakan 3 budaya Pemikiran Reka dan hasrat Pembelajaran Berasaskan Masalah.
Menyatakan apa itu Empati, Takrif, Gagas, Prototaip dan Uji serta menyatakan kaedah yang sesuai untuk mencapai objektif tersebut.
Memahami kaedah penilaian projek murid.
Peralatan sokongan pernafasan membantu pesakit untuk bernafas di kala paru-paru gagal berfungsi. Pesakit COVID-19 yang serius mengalami keradangan di bahagian paru-paru yang menyebabkan mereka sukar untuk bernafas. Maka, udara harus dihantar pada kadar yang tertentu ke paru-parunya untuk memastikan kelangsungan hayat pesakit. Orang ramai mula membincangkan untuk membina peralatan sokongan pernafasan sendiri bagi menampung kekurangan peralatan sokongan pernafasan di hospital-hospital di Amerika Syarikat. Bermacam-macam reka bentuk peralatan sokongan pernafasan buatan sendiri yang dikemukakan dan ada juga berjenis-jenis prototaip yang telah dibina. Namun begitu, reka bentuk peralatan sokongan pernafasan prototaip yang dikemukakan tidak semestinya diluluskan untuk kegunaan perubatan, kerana peralatan sokongan pernafasan bukan sekadar ‘pam udara’.
Pengamal perubatan telah memberikan kenyataan bahawa peralatan sokongan pernafasan buatan sendiri adalah jauh dari keperluan fungsi sebenar peralatan sokongan pernafasan perubatan yang telah digunakan di hospital. Antara kekurangan reka bentuk peralatan sokongan pernafasan buatan sendiri ialah ia tidak dapat mengawal (1) isipadu udara yang dipam pada satu-satu masa, (2) kelajuan udara yang dipam (3) irama (masa) udara itu masuk mestilah secara semulajadi (mengikut rentak pernafasan pesakit). Jika salah satu dari 3 perkara ini tidak dikawal, pesakit boleh mengalami kecederaan pada paru-paru.
Ini menunjukkan bahawa untuk menghasilkan suatu produk yang betul-betul berfungsi, ia perlu menjalani satu proses reka bentuk yang mengambil kira bagaimana pengguna produk itu akan menggunakan produk itu. Inilah proses yang disebut berulang-ulang kali dalam proses “design thinking” iaitu proses empati. Proses empati merupakan langkah yang pertama dan yang paling penting dalam proses mereka bentuk. Langkah ini dikhaskan untuk mengumpul data tentang bagaimana produk itu akan digunakan atau bagaimana ia seharusnya berfungsi.
Jika proses empati ini tidak dilakukan dengan teliti, maka banyak masa dan wang ringgit yang akan dilaburkan untuk penghasilan dan ujian, hanya semata-mata untuk menjumpai cacat cela pada reka bentuk produk, padahal sebahagian cacat cela reka bentuk produk itu boleh dikenalpasti sejak dari peringkat awal. Maka, apa yang boleh dilakukan ialah para pembangun peralatan sokongan pernafasan buatan sendiri ini boleh meminta pendapat pengamal perubatan tentang bagaimana peralatan sokongan pernafasan yang sebenarnya berfungsi. Kemudian, barulah mula dengan peringkat gagas (Ideate), bina prototaip dan uji.
Proses “design thinking” tidak terhad penggunaannya untuk menyelesaikan masalah reka bentuk produk sahaja tetapi ia juga boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian, masalah organisasi, malah boleh juga dijadikan kerangka penyelesaian masalah apabila guru ingin menjalankan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM).
Berpusatkan pengguna
Cenderung terhadap tindakan
Pembudayaan sikap membina prototaip dan menambahbaik ketepatan fungsi prototaip melalui uji semak yang berulang-ulang kali.
Penglibatan aktif murid di dalam projek menyelesaikan masalah memberikan kefahaman teori dan kebijaksanaan menterjemah teori kepada praktis yang lebih berfungsi dari yang boleh diperolehi dari hanya mendengar kuliah.
Penglibatan dalam projek menggalakkan pembelajaran kolaboratif yang dapat menjadi medan untuk meningkatkan kepimpinan dan ketabahan murid.
Pada 18 Mac 2020, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah drastik untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Berkuatkuasa pada tarikh tersebut, semua rakyat Malaysia dikehendaki duduk di rumah dan tidak keluar tanpa ada urusan yang penting seperti mendapatkan rawatan perubatan, membeli barangan keperluan dan sebagainya. Sekolah-sekolah, rumah ibadat, premis perniagaan bukan keperluan ditutup sepanjang PKP berkuatkuasa.
Selepas 3 bulan berlalu, Malaysia hampir berjaya untuk mengurangkan bilangan positif jangkitan COVID-19 dalam komuniti. Maka kerajaan mengambil keputusan untuk melonggarkan kawalan pergerakan dan membenarkan sekolah dibuka untuk pelajar kelas peperiksaan menyambung pengajiannya. Maka anda, sebagai guru ingin menyumbangkan kepakaran anda dengan menghasilkan alat mengeluarkan cecair pembasmi kuman tanpa sentuh untuk diletakkan di kawasan-kawasan yang strategik di sekolah anda.
Perkara pertama dan yang paling penting sebelum kita memikirkan tentang jalan penyelesaian ialah proses empati atau proses mengenal siapa dan bagaimana orang atau organisasi yang terlibat dalam masalah tersebut. Pada peringkat inilah kita perlu melihat dan melibatkan diri untuk memahami motivasi dan situasi yang dihadapi orang atau organisasi tersebut. Inilah teras kepada rekaan berpusatkan manusia.
Dalam proses ini, elakkan menghakimi pengguna dan elakkan membuat tanggapan awal supaya kita dapat memahami hasrat pengguna. Kita perlu ingat, pada kebanyakkan kalinya, masalah yang kita cuba selesaikan bukannya masalah peribadi kita. Ia datang dari orang, komuniti dan organisasi yang berbeza dari kita.
Temuramah
Teknik temuramah merupakan teknik yang paling mudah untuk mendapatkan maklumat terus dari individu / organisasi yang terlibat dengan cepat. Namun soalan-soalan temuramah hendaklah dirangka dengan teliti terlebih dahulu supaya kita memperoleh maklumat yang betul tanpa menyinggung perasaan individu yang ditemuramah. Saya pasti tak ramai orang suka ditermuramah berulang-ulang kali!
Membayang (Shadowing)
Teknik membayang memerlukan sedikit pelaburan masa tetapi kita boleh melihat secara dekat bagaimana masalah itu berlaku. Kita akan memerhati bagaimana orang / komuniti / organisasi mendepani masalah tersebut secara peribadi.
Semasa anda mengumpul data untuk proses empati, cuba tanya banyak soalan pada diri anda. Gunakan perkataan "mengapa" untuk mendapatkan maklumat yang lebih spesifik. Cuba kesan pola / corak pada perilaku yang anda lihat dan dapatkan cerita disebaliknya.
Takrif merupakan proses untuk menganalisis dapatan anda dalam proses empati. Daripada dapatan anda, cuba kenalpasti masalah yang paling menonjol. Kemudian, susun dalam bentuk pernyataan masalah. Ketika anda menulis pernyataan masalah, jangan lupa untuk hubungkan dengan emosi / keluh kesah pengguna yang telah anda selami dalam proses empati.
Dalam proses ini anda akan menjana sebanyak mungkin idea penyelesaian dari pernyataan masalah yang anda tulis dalam proses Takrif. Cuba elakkan untuk memikirkan keberkesanan idea anda ketika proses penjanaan idea berlangsung kerana selagimana idea itu tidak diuji, selagi itu kita tidak boleh menganggap idea itu tidak berhasil.
Lakaran.
Peta Minda.
Kaedah Socrates.
Relay.
Pada peringkat ini anda mula membina solusi anda. Kerangka Pemikiran Reka menggalakkan penghasilan prototaip yang ringkas dan pantas supaya boleh diuji dan mendapat maklumbalas dengan cepat.
Prototaip yang akan anda bina tidak semestinya 100% produk yang sebenar. Selagi mana panel penguji / pengguna boleh berinteraksi menggunakan prototaip anda, anda boleh hasilkan prototaip kos rendah dan berskala kecil.
Jika situasi anda bukannya menghasilkan prototaip produk (misalnya perkhidmatan), anda boleh adakan sesi lakon peranan untuk melakonkan situasi yang dipilih.
Ini merupakan kemuncak projek anda dan ia merupakan penentu prototaip yang dibina mampu membantu menyelesaikan masalah. Dalam proses ini cuba dapatkan maklumbalas dari penguji menggunakan matriks seperti di bawah.
Proses Pemikiran Reka tidak berhenti di peringkat ujian. Apabila anda telah mendapat maklumbalas dari penguji / pengguna, anda haruslah mengulangi proses penjanaan idea, membina prototaip dan uji lagi sampai penguji / pengguna berpuas hati dengan hasil kerja anda.
Proses Pemikiran Reka juga tidak semestinya bermula dari proses empati, malah ia boleh dimulakan dari mana-mana peringkat.
Tahniah!
Jika anda menggunakan kerangka Pemikiran Reka sebagai panduan anda melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Masalah, anda sebenarnya secara tidak langsung membawa mereka menggunakan Kaedah Sains.
Pengajaran paling penting untuk murid dalam Pembelajaran Berasaskan Masalah ialah menjalani proses menyelesaikan masalah menggunakan kaedah Pemikiran Reka. Pembelajaran sains di sekolah hanya bertumpu kepada pelaksanaan eksperimen-eksperimen yang sudah ditentukan resipinya dan amat jarang sekali murid diberi peluang untuk mengawal sendiri hasil / dapatan eksperimen mereka. Pembelajaran sains bukan setakat mengetahui fakta-fakta tetapi tahu menggunakan sains sebagai alat untuk memahami manusia dan alam sekeliling. Maka, murid seharusnya tidak dinilai dengan keberhasilan projek mereka tetapi mereka harus dinilai berdasarkan ketelitian mereka menjalankan proses Pemikiran Reka satu persatu.
Kami juga boleh mengadakan kursus Pemikiran Reka untuk para guru yang berminat untuk menggunakan kerangka ini dalam pembelajaran mereka. Hubungi kami untuk maklumat lanjut.
Anda boleh memuat turun lembaran kerja Pemikiran Reka yang digunakan dalam kursus kami secara percuma!
Ya Percuma!